HEBOH!!! Bukti tuduhan tak berasas - Shafie


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pengesahan bahawa tiada bukti mengaitkan beliau dalam penyalahgunaan dana RM1.5 bilion jelas menunjukkan ia adalah tuduhan tidak berasas oleh kerajaan terdahulu.
Sambil menyambut baik pengumuman mengenainya di Dewan Negara hari ini, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), berkata kerajaan negeri terdahulu mencuba pelbagai cara untuk menyekat parti itu daripada mendedahkan salah laku pemimpinnya.
“Saya berterima kasih kepada Tuhan yang memberi saya serta rakan dalam WARISAN kekuatan untuk berdepan cabaran kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka tidak ragu-ragu menangkap dan memenjarakan lawan dan membuat tuduhan tidak berasas.
“Semangat pemimpin WARISAN serta ahli parti semakin kuat dengan lebih ramai rakyat pelbagai lapisan menyertai parti kami untuk menamatkan rejim BN yang korup,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri pimpinan beliau akan terus mendedahkan salah laku kerajaan terdahulu untuk memastikan apa sahaja kekayaan negeri yang masuk ke akaun salah akan dikembalikan.
“Kita akan memastikan semua dana kerajaan digunakan dengan betul untuk rakyat negeri ini,” katanya.
Pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dilaporkan berkata tiada bukti dapat mengaitkan Mohd Shafie dalam penyalahgunaan dana RM1.5 bilion di Sabah ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Vui Keong ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Jamilah Sulaiman di Dewan Negara, berkata Pejabat Peguam Negara mengesahkan Mohd Shafie tidak akan didakwa berikutan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa beliau.
Katanya, kertas siasatan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada 23 Mei lalu dan selepas diteliti, Pendakwa Raya pada 20 Jun lalu memutuskan pendakwaan tidak diteruskan kerana bukti tidak mencukupi bagi tindakan selanjutnya.
Pejabat Peguam Negara kemudian memutuskan kes itu sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) dan ‘kes untuk simpan’ (KUS) kerana bukti tidak mencukupi.
Mohd Shafie sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 hingga 2015.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==